Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB)

Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) ditadbir oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001.


KWPSM ditubuhkan pada 1993 dengan matlamat mewujudkan modal insan berkualiti dan tenaga kerja bertaraf dunia dalam mencapai ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan pengetahuan dan inovasi dalam usaha negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.


Visi KWPSM adalah untuk menjadi daya penggerak latihan dan pembangunan tenaga kerja di samping Misi untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan tenaga kerja melalui pengurusan kumpulan wang yang efektif. Objektif KWPSM adalah untuk menggalakkan majikan yang diliputi di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja, perantis dan pelatih bagi memenuhi keperluan pelan perniagaan selaras dengan strategi pembangunan negara.


KWPSM meneraju peningkatan kemahiran tenaga kerja Malaysia dengan meningkatkan kadar bantuan kewangan kepada 110% bermula 1 Januari 2013. Pekerja yang tidak mempunyai pendidikan formal tetapi mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kemahiran di tempat kerja akan diberi sijil berdasarkan tahap kemahiran mereka (Sijil Kemahiran Malaysia – SKM, Diploma Kemahiran Malaysia – DKM atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia – DLKM) di bawah Skim Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPL).